Tuesday 22 May 2012

Merindui Rasulullah

Salah satu gambaran kecintaan masyarakat kepada Rasulullah boleh direnung daripada cerita Ibnu 'Asakir tentang Bilal bin Rabah r.a. Setelah Rasulullah wafat Bilah bin Rabah menuju ke Badariah (suatu tempat dekat wilayah Syria). Dalam tidurnya dia bermimpi melihat Rasulullah. Baginda bersabda kepadanya, "Apakah erti ketidakramahan ini wahai Bilal? Tidakkah engkau hendak mengunjungi aku sekarang?"

Setelah itu Bilal terbangun dari tidurnya dalam keadaan sedih dan cemas lalu dia bergegas berkemas dan menunggang kuda menuju ke Madinah. Dia terus mengunjungi Makam Rasulullah. Bilal pun menangis dan menekapkan muka ke makam Rasulullah saw kerana rindu dan terharunya.

Tidak lama kemudian Hasan dan Husain (cucu Rasulullah) datang menghampirinya. Bilal menyambut mereka dengan mencium mereka. Hasan dan Husain, "Kami ingin sekali mendengar azanmu lagi seperti dulu kau azan untuk Rasulullah di masjid." Hasan dan Hussain lalu menaikkan Bilal ke menara masjid. Bilal pun berdiri tegak ditempat yang semasa hidup Rasulullah dulu, dia biasa melaungkan azan.

Ketika Bilal mengumandangkan  takbir Allahu Akbar, seluruh penduduk Madinah terkejut bagaikan baru mendengar laungan kebesaran Allah. Madinah kian gempar bila kalimah Asyhaduallailahaillallah mereka berasa seolah-olah dibawa ke alam tauhid yang tinggi. Manakala kalimah Asyhadu anna Muhammadar-Rasulullah berkumandang, wanita pun berpusu-pusu keluar dari tempat tinggal mereka sambil bertanya-tanya, "Apakah Rasulullah kembali dibangkitkan?"

Pada saat itu begitu ramai lelaki dan perempuan yang meratap menangis tersedu-sedan kerana rindu mereka yang mendalam kepada Rasulullah saw.

No comments:

Post a Comment